WELCOME

Followers

Ahad, 13 Mac 2011

Sukan

Penyokong Kedah tetap tak puas hati


Sebahagian daripada penyokong Kedah berkumpul di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar selepas pasukan mereka menang 2-1 ke atas Terengganu dalam saingan Liga Super, kelmarin kerana mendesak pengurus pasukan Datuk Khazali Din meletak jawatan.


ALOR SETAR – Kedah menyifatkan kejayaan pasukan itu menumpaskan Terengganu dalam saingan Liga Super kelmarin sebagai kemenangan moral buat pemainnya yang dihimpit tekanan daripada penyokong sehingga membawa kepada pertukaran ketua jurulatih ming-
gu lalu.
Namun kemenangan 2-1 itu belum cukup untuk meredakan desakan segelintir penyokong yang tetap mahukan pengurus pasukan, Datuk Khazali Din berundur.
Sejurus tamat perlawanan kelmarin, mereka berkumpul hampir 10 minit di pekarangan Stadium Darul Aman sambil melaungkan desakan meminta Khazali meletak jawatan berikutan kemerosotan prestasi Sang Kenari pada awal musim ini.
Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang tertulis ‘Tak Mau Datuk Khazali’ sebelum disuraikan oleh anggota polis.
Bagi pengendali sementara skuad Hijau Kuning, Radhi Mat Din, kemenangan itu amat dinantikan selepas gagal memperoleh keputusan memberangsangkan pada beberapa perlawanan lalu meskipun mempunyai skuad yang setanding dengan mana-mana pasukan lain dalam Liga Malaysia.
Katanya, adalah penting untuk menaikkan moral pemain bagi mengharungi perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Super sepanjang musim ini.
“Kejayaan ini juga adalah hadiah buat ketua jurulatih, Ahmad Yusof yang sanggup mengorbankan diri (bercuti) untuk pasukan,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, hasrat penyokong Hijau Kuning untuk menyaksikan kebangkitan pasukan Kedah kelihatan hampir tidak kesampaian apabila tuan rumah dikejutkan dengan jaringan cantik pemain Terengganu, Reeshafiq Alwi pada minit ke-30.
Perlawanan pada babak kedua bagaimanapun memberikan keceriaan kepada penyokong Kedah apabila Sang Kenari bangkit dengan menghasilkan dua gol menerusi Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-63, disusuli Mohd. Firdaus Faudzi tiga minit kemudian.
Menurut Radhi, kemenangan yang dilakar anak buahnya itu bukan di luar jangkaan kerana dia percaya skuad Kedah dibarisi pemain yang berkaliber.
Cuma, katanya sebelum ini mereka tidak memperoleh keputusan yang dimahukan dan berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan oleh pemain pada perlawanan akan datang.
“Syukur kemenangan memihak kepada Kedah. Pemain dapat menyerap tekanan dengan baik dan memberi persembahan sebaik mungkin.
“Namun mereka tidak seharusnya berpuas hati dengan kemenangan ini kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan bagi memantapkan pasukan,” katanya.

TSUNAMI JEPUN


Senarai Blog Saya

Cari Blog Ini