WELCOME

Followers

Selasa, 15 Mac 2011

BERITA UTAMA''(Utusan Malaysia)

Malaysia pelawa Singapura turut awasi Teluk Aden


AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menerima kunjungan hormat Chew Men Leong (kanan) di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Panglima Tentera Laut Malaysia, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 14 Mac - Malaysia meminta Angkatan Tentera Laut Singapura (ATLS) untuk bekerjasama dalam operasi pemantauan keselamatan laluan kapal dagang di perairan Teluk Aden di Somalia demi kepentingan bersama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dinyatakannya kepada Panglima ATLS Laksamana Madya Chew Men Leong, yang mengunjunginya di Wisma Pertahanan hari ini, kerana beliau melihat kerjasama itu dapat memperkasakan keselamatan aktiviti perkapalan di kawasan itu.
"Kami mengajak sekali agar ATLS terlibat dengan operasi yang kita lakukan kerana ATLS terlibat dalam pasukan antarabangsa dan tidak mewakili negaranya sahaja.
"Ini adalah sesuai di mana Malaysia dan Singapura bertindak untuk menjaga kapal-kapal dagang dari Asia Tenggara lain agar kepentingan kapal dagang kita dapat dijaga bersama," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan ATLS yang diketuai oleh Chew.
Selain itu, Ahmad Zahid menyampaikan ucapan terima kasih kepada Singapura kerana menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan kertas kerja pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia, Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) ke-10 yang dikenali sebagai Dialog Shangri-La pada Jun depan di Singapura.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula Rang Undang-Undang Veteran 2011 selepas Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) menyatakan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang itu yang dikatakan akan menyekat kebebasan mereka untuk bersuara.
"Saya harap (rang undang-undang) dapat dibincangkan lebih terperinci di dalam Dewan (Rakyat)," katanya.
Rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa lepas yang bertujuan menubuhkan Majlis Veteran Kebangsaan yang antara lain berobjektif menyelia pelaksanaan dasar dan pelan tindakan berhubung hal ehwal veteran selain menjadi badan pemantau bagi semua persatuan veteran di negara ini.
Dua hari lepas, PBTM meminta Kementerian Pertahanan supaya mengkaji semula rang undang-undang itu kerana jika ia dikuatkuasakan, segala urusan perlu dibuat menerusi Majlis Veteran Kebangsaan. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Senarai Blog Saya

Cari Blog Ini